Selawat & Qasidah Warnai Malam Syahdu

0
1,708 views
Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

Source: Cyberita >> Link

 

Buat julung-julung kalinya Kuliah Perdana disampaikan Mufti Dr Fatris dan ditayangkan secara langsung menerusi ‘webcast’

UMAT Islam di Singapura malam tadi meraikan 12 Rabiulawal, tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw.

Masjid-masjid di serata negara bergema dengan bacaan selawat, qasidah, berzanji dan marhaban serta pelbagai sambutan Maulidur Rasul untuk memuji dan meraikan cahaya pelita umat jitu.

Buat julung-julung kalinya, satu Kuliah Perdana yang disampaikan Mufti, Dr Mohd Fatris Bakaram, telah ditayangkan secara langsung melalui live webcast di Internet, dari majlis Sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah di Masjid Al-Muttaqin.

Sambutan di masjid yang terletak di Ang Mo Kio Avenue 6 dekat Hab Ang Mo Kio itu, turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang juga Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian.

Tahun ini, sambutan Maulid anjuran bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Masjid Al-Muttaqin berpandukan tema Mendalami Tradisi Islam, Memperkukuh Iman dan Menyebar Ihsan.

Menyampaikan kuliah sempena sambutan Maulidur Rasul pertamanya sebagai Mufti, Dr Fatris mengajak masyarakat Islam menghayati perwatakan Rasulullah untuk memahami ajaran dalam Al-Quran agar tidak terpesong.

‘Apabila manusia memisahkan pembacaannya terhadap Al-Quran daripada pemahamannya terhadap peribadi, perilaku dan susuk Rasulullah saw, maka di situlah mulanya terbit pemahaman yang tersasar dan silap,’ ujar Dr Fatris.

Dari situ, akan timbul kumpulan-kumpulan dan individu yang terpesong, dan mengaku perbuatannya berdasarkan Al-Quran sedangkan ia bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah.

Beliau memberi dua ayat Al-Quran yang boleh disalah erti jika tidak dirujuk kepada budi pekerti Rasulullah.

Contoh pertama, ada ayat Al-Quran yang menjelaskan bahawa orang-orang kafir harus dibunuh di mana sahaja mereka dijumpai.

Jika ayat ini dibaca tanpa meninjau ayat-ayat Al-Quran lain serta akhlak Rasulullah, ia mungkin ditafsir secara harfiah atau literal.

Acara-acara Maulidur Rasul yang diadakan diharap dapat membantu warga Muslim memahami keperibadian dan perjuangan Nabi Muhammad.

Ini sekali gus membolehkan masyarakat Islam mencontohi sikap-sikap Baginda yang universal dan kekal relevan, meskipun umat Islam kini hidup dalam era yang cukup berbeza.

Masjid Sultan misalnya mengadakan program tiga hari berturut-turut untuk membolehkan masyarakat mengenali Rasulullah dengan lebih dekat.

Masjid Al-Ansar pula turut mengadakan bacaan selawat selepas solat maghrib dan ceramah agama selepas isyak semalam.

Hari ini, ia turut mengadakan majlis tahnik dan cukur rambut untuk bayi.

Namun tidak semua masjid meraikan Maulidir Rasul semalam seperti Masjid Alkaff Upper Serangoon, yang meraikan sambutannya minggu depan.

Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.